BIARKAN AKU TERBANG KE LANGIT BIRU SELAMANYA EP 2



Langit pagi ini cerah. Tak berapa terik. Suasana kampung yang nyaman, tidak seperti di bandar. Kabus pagi yang agak tebal, menyelubungi jalan jalan kampung. Jalan tar agak licin, kerana baru lepas hujan. Kalau bawak motorsikal, kena berhati hati. Sebab sukar nak bezakan lopak yang dipenuhi air, atau jalan biasa. Tambahan lagi, kabus agak tebal. Kalau masuk dalam lopak, memang jatuh dari motorsikal. Sudah banyak kali perkara ini diadukan kepada ketua kampung dan wakil rakyat. Bukan sekali orang jatuh motorsikal sebab langgar lopak. Banyak kali dah. Masalah utama bukanlah ketua kampung atau wakil rakyat tak nak buat kerja, tapi kedegilan lori lori sawit yang degil, selalu bawak muatan sawit lebih, menyebabkan jalan sentiasa rosak walau dah banyak kali dibetulkan.

Dikeheningan pagi tu, Remi ke sekolah menaiki motorsikal bersama sepupunya, Haziq. Budak sekolah menengah naik motorsikal ke sekolah, tanpa lesen yang sah, menjadi perkara biasa di kampung itu. Ia bukan sesuatu yang menghairankan.

Hari ni hari Isnin. Juga hari pertama Remi di sekolah menengah baru. Dia baru sahaja bertukar sekolah. Dari sebuah sekolah di bandar besar, dia bertukar ke sekolah di kampung. Remi agak gugup apabila menghampiri sekolahnya. Mujurlah Remi dan Haziq sebaya, jadi Remi boleh juga sedikit sebanyak mengawal perasaan.

"Remi, kamu saya tempatkan sekelas dengan Haziq, atas permintaan penjaga awak. Diharap, dengan bantuan Haziq, saya harap kamu dapat menyesuaikan diri dengan cepat," ujar Pengetua Lina kepada Remi.

Remi memandang Haziq, dan tersenyum.

"Terima kasih cikgu, InsyaAllah, saya akan cuba," jawab Remi.

"Kamu boleh beratur di tapak perhimpunan. Sebentar lagi, perhimpunan akan dimulakan. Haziq, tunjukkan kepada Remi, di mana barisan kelas kamu," arah Pengetua Lina.

"Baik cikgu," jawab Haziq dengan ringkas.

Oleh kerana sekolah ini di kawasan luar bandar, jadi sekolah ini agak kecil. Hanya 2 kelas diperuntukkan bagi setiap tingakatan. Oleh sebab keputusan peperiksaan Remi agak baik, Remi ditempatkan bersama Haziq di kelas 2 A. Ia juga atas permintaan bapa Haziq yang menjadi penjaga kepada Remi.

Remi dan Haziq bergegas ke perhimpunan pagi. Para pengawas yang bertugas sedang menjalankan kewajipan masing masing. Para pelajar sudah beratur dengan kemas. Hanya tinggal menunggu guru guru mereka semuanya tiba. Di hadapan tapak perhimpunan, kelihatan 3 ke 4 kerusi yang masih kosong, menantikan guru tiba bagi mengisi kekosongan itu. Remi dan Haziq berlari lari anak ke barisan kelasnya. Oleh kerana semua pelajar kelasnya sudah tiba lebih awal, Haziq dan Remi beratur di belakang sekali.

"Cantik la. Tak apa dapat belakang, tak ada sebok sangat jadi perhatian cikgu dan pengawas," kata Haziq sambil tertawa kecil.

"Ehem, tolong diam. Ziq, tali leher tu pakai elok elok," terdengar satu suara dari belakang, menegur Haziq.

"Eh, sebok la kau, suka hati aku la nak pakai 'tie' ni macam mana. Kau mati ke kalau aku pakai tak betul," bantah Haziq.

Piap! Satu sebatan hinggap di punggung Haziq.
"Adoi!" jerit Haziq. Semua pelajar memandang Haziq. Remi tergaru garu kepala memandang telatah Haziq.

"Eh, cikgu Ramdan. Ampun cikgu. Saya ingatkan pengawas mana tadi. Ampun cikgu," jelas Haziq meminta maaf kepada guru disiplin, Cikgu Ramdan.

"Tu la kau Ziq, nak bercakap, lain kali pandang orang, jangan main sembur je," bisik Remi.

"Ha, kamu nak kena sebat sekali ke? Kamu ni pelajar baru kan? Jaga kelakuan kamu ya. Kalau ada sikap buruk di sekolah lama, tinggalkan. Ini satu penghijrahan bagi kamu," nasihat cikgu Ramdan dengan tegas.

"Maaf, baik cikgu," jelas Remi ketakutan.
"Haziq, kamu di denda, lepas habis sekolah, cuci tandas," arah cikgu Ramdan.

"Alamak cikgu, petang ni lepas habis sekolah, saya ada training bola sepak. Lain kali je la saya buat, boleh?" rayu Haziq.

"Kepala hotak kamu. Boleh pulak kamu nak nego nego dengan saya. Tak ada, training tu kamu boleh datang lewat sikit, kamu tetap didenda cuci tandas. Ke, nak kena sebat lagi?" tegas Cikgu Ramdan.

"Tak nak cikgu, ampun," rayu Haziq sambil merapatkan telapak tangannya tanda mohon ampun.

"Bagus. Semoga ini jadi pengajaran buat kamu," ujar Cikgu Ramdan sambil berlalu dari situ.
"hahaha, padan muka kau," Remi mengetawakan Haziq.

"Haah, padan muka kau jugak. Agak agak kau, kau nak balik naik apa? Motor aku kan? Ke kau nak jalan kaki?" ugut Haziq.

Di kejauhan, kelihatan seorang pelajar perempuan tersenyum bersama sama rakannya melihat telatah Haziq dan Remi. Remi terpandang pelajar tersebut, lalu terpaku dengan senyumannya. Aishah berkulit putih kemerah merahan. Apabila dia senyum, kelihatan lesung pipitnya di pipi. Dia tidak terlalu rendah dan tidak pula tinggi. Bentuk mukanya bujur sirih. Comel.

"Wei, kau dah kenapa? Angau?" tanya Haziq kepada Remi.

Oleh kerana tiada balasan. Haziq mengetuk kepala Remi.

"Oi, sakit la!" rungut Remi.

"kau apesal? Kau suka kat budak perempuan tu ke? Tu, nama dia Aishah. Kau tak payah la nak syok kat dia. Ramai yang nak kat dia. Tu, kau nampak mamat perasan hensem kat depan tu? Dengar kata Aishah syok kat dia," tunding Haziq ke arah seorang pengawas di hadapan.

Pengawas tersebut kelihatan agak kemas. Kasutnya bersih berkilat. Tali leher dipakai dengan kemas dengan kolar baju berbutang, tak seperti pelajar lain yang kadang kala pakai tak ikat kemas, butang baju kolar dibiarkan terbuka. Rambutnya disikat ke belakang. Dengan bantuan gel, rambutnya nampak berkilat dan kemas.

"Siapa dia tu?" tanya Remi kepada Haziq.
"Namanya Iman. Ketua pengawas, a.k.a big bos mawas. Kononnya, dia hot sangat la, sampai semua pelajar perempuan syok kat dia, termasuk la Aishah," jelas Haziq. Kelihatan seperti Haziq agak anti dengan dia dan ada sedikit cemburu.

"Aishah tu dah ada pakwe ke?" tanya Remi.
Muka Haziq berkerut memandang ke arah Remi.

"Kau dah kenapa Mi? Nak makan penyepak aku ke, tanya soalan tu. Mana la aku tahu. Kau ingat aku P.A. dia ke?" marah Haziq.

"Ye la, mana la tahu. Kot kot kau tahu," jawab Remi.

"Dia bukan satu kelas dengan kita kan?" tanya Remi lagi.

"Kau ada nampak barisan dia dengan barisan kita ni sama ke?" perli Haziq.

Remi tergaru garu kepala.

"Aku tanya je, kau nak marah kenapa?" jawab Haziq ringkas.

"Marah la, tak pasal pasal aku hari ni kena cuci tandas tau tak," rungut Haziq.

"Haziq, kamu berbual apa lagi tu?" tegur Cikgu Ramdan.

"Eh cikgu. Mana ada, saya perkenalkan Remi dengan cikgu cikgu kat depan tu je," jawab Haziq sambil tersengih. Cikgu Ramdan berlalu dari situ.

"Fuh, selamat," Haziq mengurut dadanya.
Perhimpunan berjalan selama hampir 30 minit. Di sepanjang perhimpunan itu, mata Remi hanya tertumpu pada Aishah, tak berkelip matanya memandang Aishah. Selepas pengetua habis bercakap, semua pelajar dibenarkan untuk masuk ke kelas masing masing. Ketika Remi melintas di hadapan Aishah, Remi melemparkan senyuman kepada Aishah. Sayangnya, senyuman itu tidak diendahkan oleh Aishah. Muka Aishah berkerut tanda marah. Cepat cepat Remi tunduk tanda malu. Haziq hanya ketawa memandang telatah Remi.

Setelah sampai di kelas, Remi duduk bersebelahan Haziq, di tepi tingkap. Posisinya tak terlalu kebelakang. Remi membetulkan kerusinya, lalu duduk. Remi memandang ke arah tingkap. Bersebelahan bangunannya, ada bangunan yang lain.

"Aishah!" bisik Remi dalam hati.

Aishah duduk betul betul di tepi tingkap, di bangunan sebelah, bertentangan dengan kelas Remi. 5 minit kemudian, seorang cikgu masuk ke dalam kelas, dan memulakan sesi pelajaran subjek pagi itu. Subjek matematik. Subjek ini subjek kegemaran Remi. Dia mahu menjadi seperti cendikiawan islam masa silam, Al-Khwarizmi, atau nama sebenarnya Muhammad ibnu Musa Al-Khwarizmi. Gelaran Al Khwarizmi diambil bersempena tempat lahirnya, Khwarezm, atau zaman sekarang di Khiva, Wilayah Xorazm, Uzbekistan.

Al-Khwarizmi merupakan digelar bapa algebra kerana beliau yang terawal memperkenalkan konsep algebra dalam matematik. Al-Khwarizmi berkhidmat sebagai seorang cendikiawan semasa zaman Khalifah Al Ma'mun, dari tahun 813-833. Khalifah Al-Ma'mun atau nama sebenarnya Abu Al-Abbas Abdallah ibn Harun Al-Rashid. Kahlifah Abbasiah ke 7, anak kepada khalifah yang terkenal, Harun Al-Rashid.

Masa terus berlalu. Dari kelas matematik, ke kelas sejarah. Remi tekun menyalin nota nota sejarah dan membuat sedikit latihan yang diberikan oleh gurunya. Sekali sekala, Remi memandang ke tingkap, mencuri curi pandang Aishah. Aishah juga sedang tekun mendengar celoteh gurunya. Kadang kala dia berbisik bisik dengan rakan sebelahnya sambil ketawa kecil. Nampak dia tak berapa fokus.

Loceng berbunyi, memecahkan susana yang sepi. Suasana bertukar menjadi kecoh. Jam menunjukkan pukul 10.00 pagi. Loceng tadi menandakan waktu rehat telah bermula.

"Mi, jom kita ke kantin. Lambat nanti, nasi ayam special habis," ajak Haziq.

"Apa yang special sangat?" tanya Remi. Dia mengalihkan pandangannya ke kelas Aishah. Aishah sudah tiada di tempatnya.

" Bak kata Al fonso de abukaki yang cikgu sejarah cakap tadi, You never try, you never know. Hahahaha," Haziq cuba buat lawak.

Remi tidak menunjukkan apa apa reaksi. Hanya tenung meja Aishah di kelas seberangnya.
"Ala kau ni, kau nak sangat jumpa Aishah, dia selalu lepas makan, ada kat perpustakaan, kau pergi la cari dia kat sana," marah Haziq lalu pergi meninggalkan Remi.

"Oi, kejap la, tunggu aku. Aku mana tau perpustakaan kat mana," jerit Remi sambil mengejar Haziq.

"Kau nak makan ke, atau nak ke perpustakaan?" tanya Haziq.

"Makan. Hehehe," jawab Remi sambil tersenyum.

Mereka meneruskan perjalanan mereka ke kantin. Kelihatan ramai pelajar sedang beratur di kantin untuk membeli makanan. Di satu tempat, barisan agak panjang. Ada dalam 10 orang beratur. Menu, nasi ayam.

"Fui, ramainya," bisik hati Remi sambil melihat jam G-Shock di tangannya.

"Oh, baru 10.03 pagi. Sempat ni kalau beratur, makan, pergi perpustakaan," bisik hatinya lagi.
Setelah membeli makanan, Haziq dan Remi duduk bersama sama rakan rakannya yang lain. Macam macam perbualan mereka. Dari permainan video PS2, hinggalah rancangan kartun animasi Dragon Ball. Mereka makan sambil menunjukkan aksi aksi perlawanan Goku dalam Dragon Ball. Remi hanya mendiamkan diri. Maklumlah budak baru. Kadang kadang sahaja dia mencelah jika ditanya. Remi memandang sekeliling, mecari Aishah, tapi tiada. Mungkin dia terus ke perpustakaan, tak makan di kantin.

"Ziq, tandas kat mana? Aku nak melepas hajat jap," tanya Remi.

"Kau jalan terus, belok kiri, jumpa tandas. Kalau tak jumpa, pandai pandai la hidup," Haziq berseloroh.

Remi bangun tanpa menunjukkan sebarang reaksi, lalu pergi ke arah yang di tunjukkan. Haziq pelik melihat tingkah laku sepupunya itu. Kemudian, dia menyambung perbualannya dengan rakan rakan yang lain.

"Perpustakaan. Perpustakaan. Mana dia perpustakaan ni," bisik hati Remi sambil membaca papan arah yang tergantung.
"Ok, ni dia papan arah perpustakaan," bisik Remi.

Papan arah menunjukkan arah ke atas, tingkat 1. Remi naik tangga yang disediakan lalu menuju ke arah perpustakaan. Setelah sampai, Remi membuka kasutnya lalu menyusunnya di rak yang disediakan. Kelihatan pustakawan berbaju hijau sedang menyusun nyusun buku di atas rak. Pustakawan yang lain sedang menguruskan pinjaman buku oleh para pelajar di kaunter perpustakaan. Cikgu penasihat pula sedang sibuk mengarahkan yang lain untuk melakukan tugasan masing masing. Kelihatan ramai pelajar sedang tekun mengulang kaji pelajaran. Ada yang sedang membaca novel, ada yang sedang membuat kerja rumah.

Walaupun agak ramai, tetapi suasana agak tenang. Maklumlah, perpustakaan, mana boleh buat bising. Besar perpustakaan ini, 2 kelas. Tak berapa besar memandangkan pelajar sekolah itu tak ramai. Rak pula 4 tingkat, dalam 10 rak. Buku penuh, dan tersusun rapi. Sekolah ini amat menitik beratkan aktiviti membaca, kerana membaca itu tunjang ilmu. Tidak hairanlah, buku buku di dalam perpustakaan itu sentiasa penuh, keluaran terbaharu, dan terjaga rapi. Ini bagi menggalakkan pelajarnya membaca. Selain itu, ada juga kawasan penjualan buku. Ada satu rak penuh dengan buku buku yang boleh dibeli. Sesuatu yang unik, yang tiada di sekolah lain.

Remi mencari cari Aishah di sebalik pelajar pelajar yang berada di dalam perpustakaan itu. Dari satu meja, ke satu meja. Dari satu rak, ke satu rak. Apabila Remi perasan yang dia sedang diperhatikan oleh perpustakawan, dia cepat cepat membelek buku di rak hadapannya.

Bahu Remi dicuit. Kedengaran bisikan di telinganya.

"Bang, nak buang air bukan kat perpustakaan, tapi kat tandas," bisik orang itu.

Remi terkejut lalu pandang ke arah suara itu. Suara itu milik Haziq.

"Penat aku tunggu kau kat kantin tadi. Rupanya kau kat sini, mana kau tau perpustakaan kat sini?" bisik Haziq.

"Aku cari la, takkan aku teleport pulak. Aku bukan Goku," perli Remi.

"Shhhhhh... Pelajar di sana, tolong diam," guru penasihat pustakawan memberi amaran kepada mereka berdua.

Haziq merapatkan tapak tangannya menunjukkan isyarat memohon maaf kepada guru itu.

Kringggggggg... Loceng berbunyi menandakan waktu rehat tamat. Mereka berdua bergegas keluar dan menuju ke kelas mereka. Mata Remi meliar mencari Aishah.

"Ala, aku tau la, kau cari Aishah kan? Dia tak ada. Dia pergi pertandingan pidato dengan cikgu Ramdan," jelas Haziq.

"Oh, cikgu disiplin tadi tu? Mana kau tau?" tanya Remi.

"Aku tau la, Cikgu Ramdan jumpa aku tadi tu, bagi tau aku, yang dia kena tukar cikgu yang uruskan pelajar pidato hari ni. Cikgu tu MC. Keracunan makanan. Jadi hari ni aku lepas, tak payah cuci tandas. Hehehe. Aku nampak Aishah dengan pelajar peserta yang lain tadi dengan Cikgu Ramdan," jelas Haziq.

"Cuba teka, siapa lagi yang masuk?" tanya Haziq lagi.

"Siapa, kau ke?" jawab Remi.

"Bijak la sikit. Aku tak minat pidato ni. Aku minat bolasepak. Aku nak jadi macam Luciano Figueroa, lagenda JDT tu. Peserta yang lain, Iman la, siapa lagi," jawab Haziq.

Remi mengerutkan mukanya menunjukkan reaksi macam tak percaya.

"Kenapa, tak percaya? Iman tu pelajar terbaik sekolah ni, macam macam pertandingan dia masuk, menang. Kecuali bolasepak. Sebab dia tak boleh lawan aku, sebab aku kapten, aku tak nak dia masuk. Hahahaha," jelas Haziq sambil ketawa terbahak bahak.

"Tak, Iman tu lantak dia la. Apa kaitan Aishah ikut sekali?" tanya Remi.

"Entah, aku tak tau. Jadi pasukan sorak agaknya, sebab setahu aku, dua orang je yang wakil pidato, Iman dengan Farah, budak sekelas Iman," jawab Haziq.

Remi pulang ke kelas dengan perasaan kecewa dan muka yang monyok. Dia asyik merenung ke arah tingkap, melihat meja Aishah yang kosong. Untuk kelas kelas berikutnya, Remi tidak dapat menumpukan perhatian. Dia selalu dimarahi gurunya sebab tidak fokus.

Bersambung....

Comments